Selasa, 9 November 2010

FAEDAH MAULID

Telah berkata Ibnul Juzi bahawa satu daripada perkara-perkara yang telah mujarrab (iaitu telah dicuba dan didapati benar) ialah bahawa meraikan atau merayakan Maulid Nabi s.a.w itu akan mendatangkan keamanan yang penuh pada sepanjang-panjang tahun itu di tempat yang diadakan keramaian Maulid itu.
Sanya seorang raja yang bernama Abu Said Al Mudzaffar telah mempunyai sebuah kota bernama Irbil yang jauhnya dua batu daripada bandar Al Musul,adalah seorang raja yang bijaksana,berani,gagah,pintar,alim dan adil.Ia telah berlebih-lebihan pada tentang meraikan dan merayakan Maulid Nabi s.a.w. dan telah mengeluarkan belanja tiap-tiap tahun untuk yang demikian itu sebanyak 300 000 dinar. Dan perbuatannya itu telah dipersetujui oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh keseluruhannya.
Dan di dalam di setengah-setengah perayaan Maulid yang diadakan oleh raja itu maka setengah-setengah orang telah menghitung di dalam jamuannya ada 5000 ekor kambing panggang dan 10 000 ekor ayam dan 100 000 mangkuk dan 300 000 pinggan besar yang mengandungi gula-gula dan manisan-manisan yang berbagai rupa dan rasa.
Dan pula ia telah menyediakan percuma satu rumah besar untuk sesiapa sahaja yang datang daripada mana-mana pihak dan arah yang tidak mempunyai tempat tinggal.Dan raja itu telah membelanjakan wang untuk rumah itu tiap-tiap tahun 100 000 dinar, padahal baju raja itu sendiri hanya daripada kain kapas yang keras dan pula tidak lebih daripada lima helai.Isterinya pernah menegurnya tentang hal pakaian itu,tetapi ia pernah menjawab: "Aku memakai pakaian-pakaian yang demikian itu lebih baik daripada aku memakai pakaian yang mahal dengan tidak mengambil berat terhadap orang-orang fakir dan miskin."

PERMULAAN PERAYAAN MAULID
Kata Syeikh As Sakhawi bahawa perayaan Maulid itu mula-mula telah berlaku selepas kurun yang ketiga.Kemudian maka berkekalanlah orang-orang islam di lain-lain negeri dan bandar yang besar meraikan Maulid itu.Dan mereka telah bersedekah pada malamnya dengan berbagai-bagai sedekah dan mengambil berat tentang membaca Maulid s.a.w. yang mulia itu dan telah nyatalah daripada berkatnya itu bahawa mereka telah mendapat lelebihan-kelebihan yang banyak.

HUKUM MERAYAKAN MAULID
Di dalam fatwa-fatwa Al Hafiz As Sayuti rahimahullah,di dalam bab 'walimah' (memberi jamuan) bahawa ia telah ditanya tentang merayakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam bulan Rabiul Awal,apa hukumnya daripada segi syarak?Dan adakah didapati pahala oleh orang yang melakukannya atau tidak?Dijawab oleh As Sayuti,"pada pendapatku bahawa cara merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu ialah orang-orang yang berkumpul beramai-ramai dan membaca sedikit daripada ayat Quran dan menceritakan kisah-kisah berkenaan Maulid s.a.w. dan perkara-perkara yang luar biasa (mukjizat) yang berlaku pada masa Nabi s.a.w. dizahirkan dan kemudian mengeluarkan makanan untuk dimakan oleh orang ramai tadi dan selepas itu mereka pun bersurai dengan tidak menerjakan apa-apa lain daripada yang tersebut itu.

BID'AH HASANAH
Sanya perbuatan-perbuatan sebagaimana yang tersebut itu ialah Bid'ah Hasanah yang dibalas dengan pahala bagi orang-orang yang membuatnya kerana di dalam perbuatan-perbuatan yang tersebut itu ada erti membesarkan nilai Nabi kita Muhammad s.a.w. dan menzahirkan kesukaan dan kegembiraan terhadap kezahirannya yang mulia.
Demikianlah yang telah disebutkan oleh guru-guru kami moga-moga Allah Taalah mencurahkan rahmatNya ke atas mereka.
Telah berkata Imam Abu Syamah ,guru Sheikh An Nawawi,"Satu daripada perkara-perkara yang dicipta dan diadakan pada zaman kita ialah perkara yang dilakukan tiap-tiap tahun pada hari asalnya yang dizahirkan Nabi s.a.w.(iaitu dua belas Rabiul Awal)seperti bersedekah dan mengerjakan lain-lain kebajikan dan menyatakan kesukaan serta menghiaskan diri dan tempat kediaman kerana yang demikian itu selain daripada membuat baik kepada orang-orang fakir,maka ia juga menandakan cinta kepada Nabi s.a.w. dan membesarkan dia di dalam hati orang yang menjalankan perayaan Maulid itu,serta sebagai syukur kepada Allah Taala kerana ia telah mengutus Rasulullah s.a.w. sebagai satu rahmat kepada manusia sekalian.

MEMBESARKAN NABI S.A.W.
Telah berkata guru bagi guru kami Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan rahima ullah,"Telah menjadi adat wbagi orang ramai bahawa apabila mereka mendengar orang yang membaca Maulid itu menyebut pada arah: "Nabi s.a.w. dizahirkanlah daripada ibunya" maka mereka pun bangun berdiri itu memanglah baik,kerana yang demikian itu ada pengertian membesarkan Nabi s.a.w. sesungguhnya banyak ulama yang menjadi ikutan oleh orang ramai telah membuat seperti itu. "
Kata Al Halbi di dalam kitabnya 'As Sirah': "Sesungguhnya telah diceritakan oleh setengah-setengah ulama bahawa pada suatu masa di zaman Imam As Subki ,ramai ulama telah berkumpul di sisinya,lalu salah seorang daripada mereka telah melagu-lagukan satu nasyid (iaitu syair penggalak) yang dikarang oleh As Sarsari untuk memuji-muji Nabi s.a.w. ,maka pada ketika itu bangunlah Imam As Subki beserta semua mereka yang ada di majlis termasuk kadi-kadi dan orang-orang besar ,lalu terjadilah mesra yang begitu berkat di dalam majlis itu. Sanya,merayakan Maulid Nabi s.a.w. dengan orang-orang berkumpul ramai untuknya ialah satu perkara yang baik (mustahsan)

HADIS NABI S.A.W.
Telah di riwayatkan satu hadis Nabi s.a.w. seperti berikut:
"Barangsiapa membesarkan hari kezahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."
Dan telah berkata Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesunguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.
Dan telah berkata Saidina Umar r.a.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia menghidupkan agama islam."
Dan telah berkata pula Saidina Usman r.a.:
"Barangsiapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid di dalam peperangan Badar dan Hunain."
Dan telah berkata Saidina Ali k.w.h.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman."
Dan telah berkata Imam Syafie rahima Ullah:
"Barangsiapa mengumpulkan orang-orang islam untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan membaca Maulid itu dan mengadakan syarahan-syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan,nescaya Allah Ta'ala akan membangkitkan mereka di hari kiamat bersama dengan wali-wali, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh dan ia akan berada di dalam Syurga yang penuh nikmat."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan