Jumaat, 29 Oktober 2010

APABILA ADAM A.S. DIJADIKAN

Telah diriwayat bahawa apabila Allah Taala menjadikan Nabi Adam a.s. maka Ia telah meletakkan Nur (cahaya)Nabi kita Muhammad s.a.w. itu pada belakang Nabi Adam.Maka malaikat-malaikat telah berdiri di belakang Nabi Adam berbaris untuk melihat gemerlapam cahaya Nabi kita s.a.w. tadi yang tidak dapat di tahan oleh sebarang baju,lalu Nabi Adam telah berkata: "Hai Tuhanku,jadikanlah cahaya ini di hadapanku supaya malaikat-malaikat berada di hadapanku."Maka Allah Taala pun menjadikan cahaya itu di dahinya.Kemudian Nabi Adam pun berkata:"Hai Tuhanku,jadikanlah cahaya ini pada tempat yang aku boleh melihatnya."Maka Allah Taala pun meletakkan cahaya itu pada jari telunjuk tangannya,lalu Nabi Adam pun melihat akan cahaya itu ,dan keadaan Nabi Adam pun menjadi bertambah elok dan berseri.

CAHAYA SAHABAT-SAHABAT
Kemudian Nabi Adam bertanya:"Hai Tuhanku,adakah lagi baki cahaya itu di belakangku?" Jawab Allah Taala:"Ya ada, cahaya sahabat-sahabatnya." Nabi Adam berkata: "Hai Tuhanku,pindahkanlah cahaya itu kepada lain-lain jariku." Maka Allah Taala pun memindahkan nur Saiyidina Abu Bakar kepada jari tengah dan nur Saiyidina Umar kepada jari manisnya dan nur Saiyidina Usman kepada jari kelingkingnya dan nur Saiyidina Ali kepada ibu jarinya.Maka jadilah cahaya-cahaya itu gemerlapan pada jari-jari Nabi Adam a.s. selama ia berada di dalam Syurga.
Tetapi apabila ia turun ke dunia dan mengerjakan pekerjaan dunia maka cahaya-cahaya itu telah hilanglah dari jari-jarinya dan kembali semula ke belakangnya.

KETURUNAN SUCI
Sesungguhnya Allah Taala telah membersihkan sekalian datuk nenek Nabi kita s.a.w. yang mulia itu daripada zina jahiliah,iaitu tidak pernah ada di antara mereka itu (daripada Nabi Adam a.s. hingga Nabi Muhammad s.a.w.)seseorang yang telah bernikah dengan ibu tirinya atau dua adik-beradik perempuan dimadukan atau sebagainya,(kerana hukum kahwin seperti itu adalah haram dan tidak sah di sisi islam.)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:-
"Aku tidak dizahirkan(diberanakkan) daripada zina jahiliah walau barang sedikitpun bahkan aku tidak dizahirkan melainkan kahwin secara islam,(iaitu dengan ijab dan kabul dengan saksi-saksi yang bukan kafir kerana pada masa itu mereka adalah ahlil-fitrah,iaitu masa yang kosong dari sebarang nabi-nabi dan ahlil-fitrah itu tidak dihukumkan kafir.)

BAU KASTURI
Sanya adalah Abdul Muttalib(nenda Nabi s.a.w.) itu keluar daripadanya bau kasturi yang sangat harum dan pula ternyata cahaya Rasulullah s.a.w. itu terang pada dahinya.Dan apabila anak lelakinya Abdullah,sampai usianya 18 tahun(dan ada pula ahli sejarah yang mengatakan 30 tahun),maka Abdul Muttalib telah mengahwinkan dia dengan Aminah binti Abdul Wahab bin Abdi Manaf bin Zahrah dan adalah Abdulah tadi pada masa itu berpangkat tinggi di dalam kaum Bani Zahrah dari segi keturunan dan kemuliaan.

KEZAHIRAN NABI
Kemudian ahli sejarah telah menyebutkan bahawa apabila Abdullah berkahwin dengan Aminah maka mereka pun bersatu dan Aminah pun telah mulalah mengandungkan Nabi s.a.w. pada hari Isnin (ada pula ulama yang mengatakan pada malam Jumaat) dalam bulan Rejab,iaitu hari yang pertama di dalamnya.Dan Aminah telah menzahirkannya pada bulan Rabiul Awal menurut pendapat ahli sejarah yang lebih tepat.Dan lama masa dikandungkan baginda s.a.w. ialah sembilan bulan menurut pendapat yang sah,tetapi menurut pendapat yang masyhur ialah dua belas bulan.
Maka menurut pendapat yang lebih tepat ialah bahawa Nabi kita s.a.w. telah dizahirkan pada hari Isnin selepas terbit fajar dan itulah satu waktu yang berkat.Dan baginda s.a.w. telah dizahirkan di Mekah dan tidak harus kita percayakan lain daripada Mekah itu tempat kezahirannya.
Dan perkara-perkara yang tersebut itu sayugialah diajarkan oleh ibubapa kepada anak-anak mereka apabila mereka sampai umur 7 tahun,iaitu sudah jadi 'mumaiyiz'.Dan Nabi kita s.a.w. telah dizahirkan dengan keadaannya sudah sedia berkhatan serta sudah terpotong pusatnya.Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda:
"Setengah daripada kemuliaan yang telah dikurniakan oleh Allah Taala kepadaku ialah aku telah dizahirkan sedia terkhatan dan tidak seorang pun melihat auratku.

DINAMAKAN MUHAMMAD
Ahli-ahli sejarah telah berselisih pendapat tentang adakah bondanya s.a.w. yang telah menamakan baginda Muhammad ataukah datuknya yang membuat demikian?Dan adakah Nabi s.a.w. telah diberi nama pada malam yang ia dizahirkan itu ataukah pada hari yang ke tujuh selepas ia dizahirkan?
Telah diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Ibni Hasan An Natukhi apabila telah sampai pada hari yang ke tujuh selepas dizahirkan Nabi s.a.w. maka nendanya, Abdul Muttalib , telah menyembelih binatang-binatang(untuk membuat aqiqah) dan telah menjemput kaum Quraisy untuk menjamu mereka dan apabila selesai jamuan itu maka mereka pun bertanya:"Apakah engkau namakan dia?"Dijawab oleh nendanya: "Aku namakan dia Muhammad (ertinya yang dipuji).Aku berharap Allah Taala memujinya di langit dan makhluk Allah Taala memujinya di bumi."
Dan ada pula ahli sejarah yang mengatakan bahawa nendanya telah menamakan dia Muhammad ialah kerana nendanya itu telah bermimpi bahawa satu utas rantai perak telah keluar daripada belakangnya lalu rantai itu telah memanjang sehingga satu hujungnya telah sampai ke langit dan satu hujungnya lagi telah sampai ke bumi dan satu lagi ke timur dan satu lagi ke barat.Kemudian rantai itu telah memendek kembali sehingga menjadi seolah-olah sebuah pohon yang hijau yang pada salah satu daunnya ada cahaya,tiba-tiba orang-orang yang di timur dan orang-orang yang di barat bergantung padanya,lalu ia pun menceritakan mimpinya itu, dan telah ditabirkan mimpi itu oleh ahli tabir mimpi kepada Abdul Muttalib bahawa seorang kanak-kanak akan dizahirkan daripada belakangnya yang akan menjadi ikutan oleh orang-orang timur dan orang-orang barat, dan akan dipuji oleh penghuni langit dan penghuni bumi.Dan beserta dengan itu maka ibunya menceritakan bahawa ia telah didatangi oleh sesuatu yang datang dan memberitahu kepadanya bahawa "apabila engkau menzahirkan budak itu maka hendaklah engkau namakan dia Muhammad."

ABU LAHAB
Telah diriwayatkan bahawa apabila Nabi s.a.w. dizahirkan maka seorang hamba perempuan yang bernama Thuwaibah telah datang kepada Abu Lahab,(iaitu salah seorang bapa saudara Nabi s.a.w. dan tuan punya hamba itu) lalu hamba itu memberitahu kepadanya berkenaan kezahiran seorang anak lelaki bagi saudaranya,Abdullah, maka Abu Lahab telah berasa amat sukacita lalu ia terus memerdekakan hamba itu pada ketika itu juga.Kemudian ia telah mengupah akan bekas hambanya itu supaya menyusukan Nabi,s.a.w.selepas kezahirannya itu selama beberapa hari.
Kemudian telah diriwayatkan bahawa selepas matinya Abu Lahab itu maka ada seorang telah mimpi berjumpa dan bertanya kepadanya: "Apa hal engkau sekarang?" Jawab Abu Lahab: ''Aku di dalam neraka, tetapi keadaanku telah diringankan pada tiap-tiap malam Isnin,kerana aku dapat menghisap air di antara celah jariku sekadar banyak ini,"(lalu ia tunjukkan kepada satu lekok ibu jarinya)," dan yang demikian itu ialah dengan sebab aku telah memerdekakan Thuwaibah apakala aku memberitahu kepadaku tentang kezahiran Muhammad,dan pula aku telah mengupah Thuwaibah untuk menyusukan dia."Demikianlah riwayat itu.
Maka sekiranya beginilah hal Abu Lahab yang kafir musyrik itu (yang di dalam Quran telah diturunkan satu surah untuk mencelanya) dibalas dengan baik di dalam api neraka dengan sebab kesukaannya pada hari kezahiran Nabi yang terpiih s.a.w. itu maka bagaimanakah hal seorang islam yang mempercayakan keesaan Tuhan sepanjang umurnya yang bergembira dengan hari kezahiran Nabi s.a.w. dan bersedekah pula kerana cintakan dia.
Demi sesungguhnya tidak dapat tiada balasan untuk orang yang seperti ini daripada Allah Taala yang Maha Pemurah itu ialah memasukkan dia dengan kelebihanNya dan kemurahanNya ke dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat untuk selama-lamanya.
Maka dapatlah diketahui daripada apa yang tersebut itu bahawa mengambil berat tentang Maulidnya s.a.w. yang mulia itu ialah satu daripada sebesar-besar perkara yang boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan.Dan hal yang demikian itu boleh didapati dengan memberi makanan kepada fakir miskin,dan membaca Quran dan membaca kisah sejarah Nabi s.a.w. dan qasidah-qasidah berkenaan dengannya,dan lain-lain perkara yang tidak mengandungi perkara-perkara yang haram atau makruh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan