Telah berkata Al Hasan Al Basri,r.a.:"Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud,nescaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w."
Dan telah berkata Al Junaid Al Baghdadi r.m.h.: "Barangsiapa hadir pada majlis Maulid Nabi s.a.w. dan membesarkan keadaan majlis itu maka sesungguhnya ia telah menang dengan iman."
Dan telah berkata Makruf Al Kukhi (moga-moga Allah Taala memuliakan rohnya.): "Barangsiapa menyediakan makanan untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. dan mengumpulkan orang-orang islam serta menyalakan lampu-lampu dan memakai pakaian-pakaian yang baru dan berwangi-wangi serta bercantik dengan tujuan membesarkan Maulidnya s.a.w. maka Allah Taala akan mengumpulkan dia di padang Masyhar di hari kiamat kelak bersama dengan kumpulan-kumpulan yang pertama di antara Nabi-nabi ia akan mendapat setinggi-tinggi tempat di dalam syurga"
Dan telah berkata As Sirri As Saqati::
"Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun Syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah s.a.w."
Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam Syurga."
Sedia maklum bahawa menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan cara-cara yang telah tersebut dahulu itu nyatalah bererti kita cinta kepadanya.
Dan telah berkata Sultan Wali-wali (Arifin).Jalaluddin As Suyuti rahimahullah: "Barangsiapa orang islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. nescaya Allah Taala akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan,bala,penderitaan,kebencian,hasad,kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati maka Allah Taala akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Munkar dan Nakir dan ia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar kerajaanNya."
Dan ia berkata lagi:
"Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi s.a.w. melainkan Malaikat-malaikat melindungkan ahli-ahli tempat itu dan Allah Taala akan melimpahkan rahmatNya kepada mereka dan Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibrail dan Mikail,Israfil,Quryail,Ainail dan lain-lainnya mendoakan bagi sesiapa yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Maulid Nabi s.a.w."
Demikianlah dinyatakan oleh guru kami daripada kitab 'Wasail.'
MURAH REZEKI
Barangsiapa membaca Maulid Rasulullah s.a.w. pada wang perak dan emas dan kemudian ia mencampurkan wang itu dengan wang-wangnya yang lain nescaya tuan punya wang itu akan mendapat berkat dan tidak akan menjadi papa dan tangannya tidak akan kosong dengan berkat Maulid Rasulullah s.a.w.
Dan telah berkata Imam Al Yafie:
"Barangsiapa mengumpulkan orang-orang islam untuk sesuatu majlis membaca Maulid Nabi s.a.w. dan menyediakan makanan dan mengadakan tempat baginya dan mengerjakan lain-lain kebajikan, maka Allah Taala akan membangkitkan dia pada hari Kiamat bersama-sama dengan wali-wali dan orang-orang yang soleh dan orang-orang yang mati syahid dan ia akan berada di dalam Syurga Naim."
LAGI KELEBIHAN MAULID
Telah dihikayatkan bahawa pada zaman Amirul mukminin Harun Ar Rasyid bahawa ada seorang muda di dalam bandar Basrah yang terlalu pemboros dan buruk perangai dan ahli-ahli negeri itu telah memandang kepadanya dengan pandangan yang hina,dengan sebab perbuatan dan perangainya yang buruk itu.Tetapi pemuda ini ,apabila sampai bulan Rabiul awal maka ia telah membasuh pakaian-pakaiannya dan berwangi-wangi serta berhias dan mengadakan jamuan dan pula ia telah meminta dibacakan kisah Maulid Nabi s.a.w. di dalam jamuan itu,maka ia tetaplah mengerjakan seperti itu tiap-tiap tahun selama beberapa tahun.
Kemudian apabila ia mati maka penduduk-penduduk negeri itu telah mendengar satu teriakan berkata:
"Datanglah wahai ahli Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali Allah Taala kerana dia itu mulia di sisi Allah."
Maka orang-orang Basrah pun datanglah kepada jenazahnya dan mengkebumikannya,kemudian mereka telah melihatnya di dalam mimpi bahawa ia sedang bersiar-siar dengan pakaian dan perhiasan anli Syurga." lalu ia telah ditanya,"Sebab apa engkau telah menerima kelebihan besar ini?"Jawab pemuda itu: "Sebab aku membesarkan Maulid Nabi s.a.w."
SATU LAGI HIKAYAT
Telah dihikayatkan juga bahawa pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Maruan bahawa ada seorang muda yang elok parasnya di dalam negeri Syam dan ia suka bermain dengan menunggang kuda.. Maka pada satu hari ia telah menunggang kudanya dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah itu tiba-tiba terlanggarlah dengan salah seorang anak baginda yang kebetulan ada di situ, lalu anak baginda itu pun mati.
Maka berita itu telah sampailah dengan segera kepada Khalifah dan Khalifah pun memeritahkan supaya pemuda itu dibawa menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah maka teringatlah pada hatinya hendak bernazar bahawa sekiranya allah taala melepaskan dia daripada angkara itu maka ia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam majlis jamuan itu.
Apabila pemuda itu sampai di hadapan Khalifah dan Khalifah pun memandang kepadanya, tiba-tiba baginda telah tertawa, padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu:
"Adakah engkau pandai ilmu sihir?" Jawab pemuda itu, "Demi Allah, tidak sekali-kali hai Amirul mukminin."Berkata baginda:
"Baiklah, aku ampunkan engkau, tetapi katakanlah kepada aku apakah rahsia engkau?" Jawab pemuda itu:
"Aku telah berkata dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan bagi Maulid Nabi s.a.w."
Baginda berkata:
"Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi s.a.w. itu dan engkau sekarang terlepaslah daripada sebarang balasan bagi membunuh anakku itu."
Maka pemuda itu pun keluarlah dan telah selamat daripada balasan bunuh dan telah menerima pula seribu dinar ialah dengan berkat Maulid Nabi s.a.w.
MENGAMBIL BERAT
Sayugialah semua orang-orang islam mengambil berat dan gemar membaca Maulid Penghulu Besar kita keturunan adnan itu, kerana dengan sebab-sebabnya telah dijadikan sekalian arwah dan benda-benda, dari itu memanglah sesuai dibelanjakan harta benda untuk mengingatkan dan membesarkannya. moga-moga Allah taala menjadikan kita sekalian gemar dan suka membaca Maulid Nabi kita yang mulia itu dengan berkekalan dan membelanjakan wang baginga pada masa-masa dan hari-hari yang tertentu. Amin!
SATU ADAT
Kerap juga berlaku di negeri kita ini orang-orang bertepuk tangan dan memukul gendang dan menari-nari dan memukul dandi (gendang besi) ketika Zikrullah dan ketika membaca membaca Maulid Nabi s.a.w. sedangkan tidak disuruh oleh syara' membuat demikian.. Bahkan kadang-kadang hal ini boleh membawa kefakiran. (Kita berkindung dengan Allah daripada yang demikian itu).Telah dipetik oleh guru kami daripada Abu Bakar bin Al Hisni bahawa jenis kafir itu banyak, tidak dapat dikira, maka setengah daripadanya ialah membaca Quran dengan memukul gendang.
Ibnu Hajar telah memetik daripada At tartusi yang tujuan ringkasnya ialah:
Menurut pendapat ketua-ketua ahli Sufi bahawa menari-nari dan memukul gendang di dalam majlis zikrullah atau di dalam ketika membaca selawat dan memuji Nabi s.a.w. adalah sesat dan salah kerana islam itu tiada lain hanyalah apa yang terkandung di dalam kitab Allah dan Hadith Nabi s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan