Adapun menari atau bergendang ketika beribadat itu tidaklah disuruh oleh Allah Nabi s.a.w. tetapi perbuatan-perbuatan yang seperti itu mula-mula sekali telah diadakan oleh Samiri dan kawan-kawannya ketika Samiri membuat patung anak lembu (sebagaimana ada tersebut kejadiannya di dalam Quran),lalu mereka pun bangun menari-nari dan mengadakan lain-lain perkara yang tidak disuruh oleh agama Nabi Musa a.s.,maka perbuatan-perbuatan seperti itu ialah perbuatan agama kafir dan perbuatan orang-orang yang menyembah lembu.
Demikian juga lebih kurang tersebut di dalam kitab Al Qurtubi.
Imam Al Tartusi menanbah kata bahawa orang-orang yang mula-mula memukul gendang di dalam majlis ibadat yang seperti itu ialah orang-orang Zindik (iaitu orang-orang yang zahirnya Islam tetapi batinnya kafir) untuk hendak menarik dan menjauhkan orang-orang islam daripada ajaran kitab Allah.
Di dalam majlis-majlis yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya,maka mereka telah menjaga sopan- santun yang penuh, dari itu sayugialah Sultan dan wakil-wakilnya (atau ketua-ketua agama) melarang orang-orang yang bergendang dan menari itu hadir di dalam masjid dan lain-lainnya dan tidak harus bagi seseorang yang percaya Allah dan Hari Kiamat hadir bersama-sama mereka itu dan menolong mereka itu di dalam kesesatan mereka.Inilah pendapat Imam Syafie dan Maliki dan Abu Hanifah dan lain-lain lagi golongan Imam-imam (Ketua-ketua) agama Islam.
BERTEPUK TANGAN
Adapun bertepuk tangan sahaja maka Imam Ibnu Hajar cenderung menghukumkan makruh di dalam segala hal (jika di luar sembahyang) walaupun dengan tujuan bermain-main dan bersuka-suka.
PUKUL GENDANG
Tentang hukum memukul gendang maka Imam Ibnu Hajar telah menyatakan bahawa menurut pendapat yang muktamad adalah halal dengan tidak makruh jika di dalam majlis perkahwinan atau khatan atau sebagainya.(Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Sukakanlah majlis perkahwinan walaupun dengan memukul sebiji gendang.")
MENARI KETIKA KESUKAAN
Adapun menari di dalam majlis perkahwinan atau khatan atan sebagainya (dengan tidak bercampur lelaki dengan perempuan) maka Imam Ibnu Hajar menghukumkan makruh.Tetapi jika menari itu bercampur lelaki dengan perempuan atau dengan cara yang boleh menimbulkan nafsu maka haramlah hukumnya samada dilakukan oleh lelaki ataupun perempuan.
Moga-moga Allah Taala menjadikan kita sekalian di dalam umatnya s.a.w. yang selamat dan sejahtera dan akan berkumpul di Padang Mahsyar bersama-sama Nabi s.a.w. Amin!
TERSEBUT DI DALAM TAURAT
Telah diriwayatkan oleh seorang yang sangat alim iaitu An Najmul Ghaidzi rahimahullah bahawa Allah Taala telah menyatakan di dalam kitab Taurat bahawa ia berfirman kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. "Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat di dalam golongan manusia dan aku jadikan umatmu umat yang pertengahan dan aku jadikan umatmu umat yang pertama dan penghabisan dan aku jadikan umatmu tidak harus membaca khutbat melainkan lebih dahulu menyebutkan bahawa mereka mengaku bahawa engkau adalah hambaKu dan pesuruhKu.Dan aku jadikan sebahagian daripada umatmu itu hati mereka seperti 'Kitab Injil' bagi mereka (iaitu mereka hafaz Quran,ataupun mereka senantiasa ingatkan hukum Allah).
KENYATAAN SEORANG YAHUDI
Telah diriwayatkan pula oleh Ata bin Yasar daripada Kaab Al Ahbar (iaitu seorang Yahudi yang telah memeluk Islam di zaman sahabat) bahawa Kaab Al Ahbar itu telah berkaa: "Bapaku telah mengajar kepadaku kitab Taurat (Kitab suci Yahudi) melainkan satu surah sahaja yang tidak diajarkannya kepadaku. bahkan dibungkusnya dan disimpannya di dalam peti sahaja."
"Apabila bapaku mati maka aku telah membuka bungkusan itu,tiba-tiba pada surah yang di dalam bungkusan itu aku telah membaca berkenaan seorang Nabi yang akan keluar pada akhir zaman.Ia akan diperanakkan di Mekah dan akan berhijrah ke Madinah dan kekuasaannya di Syam.Ia menggunting rambutnya dan mengikat pinggangnya Adalah ia sebaik-baik Nabi dan umatnya sebaik-baik umat.Mereka membesarkan Allah dengan segala hal kemuliaan.Mereka berbaris di dalam sembahyang sebagai mereka berbaris di dalam peperangan.Hati mereka ialah Quran mereka.Mereka memuji Allah di dalam segala kesempitan dan kemewahan,satu pertiga daripada mereka akan terus masuk Syurga dengan tiada dihisab (iaitu tiada dikira dosa pahala mereka) di padang mahsyar nanti dan satu pertiga daripada mereka telah membuat salah dan berdosa tetapi Allah Taala mengampunkan mereka dan satu pertiga lagi telah melakukan dosa-dosa besar maka malaikat-malaikat (di padang mahsyar) pun berkata kepada Allah Taala: "Hai Tuhan kami, kami dapati mereka telah menganiayakan diri mereka dan kami dapati dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka adalah seperti beberapa buah gunung,hanya sanya mereka itu tetap mengaku bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."
Lalu dijawab oleh Allah Taala: "Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu,Aku tidaklah menyamakan orang yang ikhlas kepada Aku dengan mengakui keesaanKu itu sebagaimana orang yang mendustakan Aku (dengan mengatakan Tuhan ada anak ataupun sekutu atau sebagainya). Dari itu masukkanlah mereka ke dalam Syurga dengan sebab rahmatKu."
NABI MUSA
Telah tersebut di dalam setengah-setengah 'khabar' bahawa Nabi Musa a.s. telah bersabda:
"Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang ialah sebaik-baik umat di antara golongan manusia,maka jadikanlah umat itu umatku." Berfirman Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda lagi Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang pergi Haji, dan apabila mereka kembali daripada Haji itu maka segala dosa mereka diampuni,maka jadikanlah umat itu umatku." Jawab Allah Taala :
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda Nabi Musa a.s. lagi : "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang kitab suci mereka ialah di dalam dada mereka ,(yakni: mereka hafaz kandungan kitab Allah) maka jadikanlah umat itu umatku." Jawab Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda Nabi Musa a.s. lagi: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang berpuasa satu bulan lalu diampnkan dosa mereka selama sebelas bulan yang lalu,maka jadikanlah umat itu umatku." Firman Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda lagi Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati tersebut di dalam kitab Taurat tentang satu umat yang ialah penghabisan umat di dalam Islam tetapi terdahulu masuk Syurga maka jadikanlah dia umatku." Dijawab oleh Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Lalu bersabda Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku,jikalau begitu,jadikanlah aku seorang daripada golongan umat Muhammad."
Maka itulah sebabnya Nabi kita Muhammad s.a.w. telah bersabda:-
"Sekiranya Musa hidup sekarang maka tidak dapat tiada ia akan menurut Syariatku."
KA'BUL AHBAR
Telah berkata Ka'bul Ahbar lagi: "Aku telah dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat bahawa apabila umat Muhammad s.a.w. berjalan di atas bumi maka mereka memintakan ampun bagi umat itu sekalian, dan aku telah dapati bahawa ada bersama tiap-tiap seorang daripada mereka itu satu landasan daripada cahaya iaitulah islam , dan aku telah dapati bahawa apabila seorang daripada mereka sujud maka apabila ia mengangkat kepalanya nescaya Allah Taala mengampunkan dosanya, dan aku telah dapati mereka berpuasa satu bulan dalam tiap-tiap tahun,iaitu bulan Ramadhan, dan bagi tiap-tiap sehari mereka berpuasa maka Allah Taala menjauhkan mereka daripada api Neraka sejauh perjalanan 500 tahun,dan aku dapati mereka berbahagia dan mempunyai sebaik-baik tempat kembali, iaitu Syurga."
AMPUNAN ALLAH
Tersebut di dalam kitab 'Raudhatul Ulama': "Telah bersabda Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku,ampunkanlah aku dan bani Israel." Firman Allah Taala: "Aku telah ampunkan Muhammad dan umatnya dan pahala mereka (umat Muhammad) pada sisiKu sama sebagaimana pahala Nabi-nabi.KemurkaanKu terhadap mereka itu jauh. Aku terima amalan daripada mereka itu sedikit, tetapi Aku beri pahala dan rahmat kepada mereka itu banyak.Dan Aku tidak menolak permohonan taubat daripada mereka itu selama mereka berkata: Laa ilaaha illallah (iaitu tiada Tuhan melainkan Allah)." Lalu Nabi Musa a.s. pun tunduk sujud dan berkata: "Hai Tuhanku, jadikanlah aku di dalam golongan umat Muhammad." Maka Allah Taala pun berfirman:: "Engkau dan sekalian Nabi-nabi memang termasuk di dalam golongan umat Muhammad." Moga-moga Allah Taala mengurniakan sebanyak-banyak salam dan sejahtera kepada mereka itu sekalian.Amin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan