Jumaat, 12 November 2010

PERBUATAN SAMIRI

   Adapun menari atau bergendang ketika beribadat itu tidaklah disuruh oleh Allah Nabi s.a.w. tetapi perbuatan-perbuatan yang seperti itu mula-mula sekali telah diadakan oleh Samiri dan kawan-kawannya ketika Samiri membuat patung anak lembu (sebagaimana ada tersebut kejadiannya di dalam Quran),lalu mereka pun bangun menari-nari dan mengadakan lain-lain perkara yang tidak disuruh oleh agama Nabi Musa a.s.,maka perbuatan-perbuatan seperti itu ialah perbuatan agama kafir dan perbuatan orang-orang yang menyembah lembu.
   Demikian juga lebih kurang tersebut di dalam kitab Al Qurtubi.
   Imam Al Tartusi menanbah kata bahawa orang-orang yang mula-mula memukul gendang di dalam majlis ibadat yang seperti itu ialah orang-orang Zindik (iaitu orang-orang yang zahirnya Islam tetapi batinnya kafir) untuk hendak menarik dan menjauhkan orang-orang islam daripada ajaran kitab Allah.
   Di dalam majlis-majlis yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya,maka mereka telah menjaga sopan- santun  yang penuh, dari itu sayugialah Sultan dan wakil-wakilnya (atau ketua-ketua agama) melarang orang-orang yang bergendang dan menari itu hadir di dalam masjid dan lain-lainnya dan tidak harus bagi seseorang yang percaya Allah dan Hari Kiamat hadir bersama-sama mereka itu dan menolong mereka itu di dalam kesesatan mereka.Inilah pendapat Imam Syafie dan Maliki dan Abu Hanifah dan lain-lain lagi golongan Imam-imam (Ketua-ketua) agama Islam.

BERTEPUK TANGAN
   Adapun bertepuk tangan sahaja maka Imam Ibnu Hajar cenderung menghukumkan makruh di dalam segala hal (jika di luar sembahyang) walaupun dengan tujuan bermain-main dan bersuka-suka.

PUKUL GENDANG
   Tentang hukum memukul gendang maka Imam Ibnu Hajar telah menyatakan bahawa menurut pendapat yang muktamad adalah halal dengan tidak makruh jika di dalam majlis perkahwinan atau khatan atau sebagainya.(Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Sukakanlah majlis perkahwinan walaupun dengan memukul sebiji gendang.")

MENARI KETIKA KESUKAAN
   Adapun menari di dalam majlis perkahwinan atau khatan atan sebagainya (dengan tidak bercampur lelaki dengan perempuan) maka Imam Ibnu Hajar menghukumkan makruh.Tetapi jika menari itu bercampur lelaki dengan perempuan atau dengan cara yang boleh menimbulkan nafsu maka haramlah hukumnya samada dilakukan oleh lelaki ataupun perempuan.
   Moga-moga Allah Taala menjadikan kita sekalian di dalam umatnya s.a.w. yang selamat dan sejahtera dan akan berkumpul di Padang Mahsyar bersama-sama Nabi s.a.w. Amin!

TERSEBUT DI DALAM TAURAT
   Telah diriwayatkan oleh seorang yang sangat alim iaitu An Najmul Ghaidzi rahimahullah bahawa Allah Taala telah menyatakan di dalam kitab Taurat bahawa  ia berfirman kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. "Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat di dalam golongan manusia dan aku jadikan umatmu umat yang pertengahan dan aku jadikan umatmu umat yang pertama dan penghabisan dan aku jadikan umatmu tidak harus membaca khutbat melainkan lebih dahulu menyebutkan bahawa mereka mengaku bahawa engkau adalah hambaKu dan pesuruhKu.Dan aku jadikan sebahagian daripada umatmu itu hati mereka seperti 'Kitab Injil' bagi mereka (iaitu mereka hafaz Quran,ataupun mereka senantiasa ingatkan hukum Allah).

KENYATAAN SEORANG YAHUDI
   Telah diriwayatkan pula oleh Ata bin Yasar daripada Kaab Al Ahbar (iaitu seorang Yahudi yang telah memeluk Islam di zaman sahabat) bahawa Kaab Al Ahbar itu telah berkaa: "Bapaku telah mengajar kepadaku kitab Taurat (Kitab suci Yahudi) melainkan satu surah sahaja yang tidak diajarkannya kepadaku. bahkan dibungkusnya dan disimpannya di dalam peti sahaja."
   "Apabila bapaku mati maka aku telah membuka bungkusan itu,tiba-tiba pada surah yang di dalam bungkusan itu aku telah membaca berkenaan seorang Nabi yang akan keluar  pada akhir zaman.Ia akan diperanakkan di Mekah dan akan berhijrah ke Madinah dan kekuasaannya di Syam.Ia menggunting rambutnya dan mengikat pinggangnya Adalah ia sebaik-baik Nabi dan umatnya sebaik-baik umat.Mereka membesarkan Allah dengan segala hal kemuliaan.Mereka berbaris di dalam sembahyang  sebagai mereka berbaris di dalam peperangan.Hati mereka ialah Quran mereka.Mereka memuji Allah di dalam segala kesempitan dan kemewahan,satu pertiga daripada mereka akan terus masuk Syurga dengan tiada dihisab (iaitu tiada dikira dosa pahala mereka) di padang mahsyar nanti dan satu pertiga daripada mereka telah membuat salah dan berdosa tetapi Allah Taala mengampunkan mereka dan satu pertiga lagi telah melakukan dosa-dosa besar maka malaikat-malaikat (di padang mahsyar) pun berkata kepada Allah Taala: "Hai Tuhan kami, kami dapati mereka telah menganiayakan diri mereka dan kami dapati dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka adalah seperti beberapa buah gunung,hanya sanya mereka itu tetap mengaku bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."
   Lalu dijawab oleh Allah Taala: "Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu,Aku tidaklah menyamakan orang yang ikhlas kepada Aku dengan mengakui keesaanKu itu sebagaimana orang yang mendustakan Aku (dengan mengatakan Tuhan ada anak ataupun sekutu atau sebagainya). Dari itu masukkanlah mereka ke dalam Syurga dengan sebab rahmatKu."

NABI MUSA
   Telah tersebut di dalam setengah-setengah 'khabar' bahawa Nabi Musa a.s. telah bersabda:
"Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang ialah sebaik-baik umat di antara golongan manusia,maka jadikanlah umat itu umatku." Berfirman Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda lagi Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat  satu umat yang pergi Haji, dan apabila mereka kembali daripada Haji itu maka segala dosa mereka diampuni,maka jadikanlah umat itu umatku." Jawab Allah Taala :
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda Nabi Musa a.s. lagi : "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang kitab suci mereka ialah di dalam dada mereka ,(yakni: mereka hafaz kandungan kitab Allah) maka jadikanlah umat itu umatku." Jawab Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda Nabi Musa a.s. lagi: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat satu umat yang berpuasa satu bulan lalu diampnkan dosa mereka selama sebelas bulan yang lalu,maka jadikanlah umat itu umatku." Firman Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Bersabda lagi Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati tersebut di dalam kitab Taurat tentang satu umat yang ialah penghabisan umat di dalam Islam  tetapi terdahulu masuk Syurga maka jadikanlah dia umatku." Dijawab oleh Allah Taala:
"Itu ialah umat Muhammad." Lalu bersabda Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku,jikalau begitu,jadikanlah aku seorang daripada golongan umat Muhammad."
   Maka itulah sebabnya Nabi kita Muhammad s.a.w. telah bersabda:-
"Sekiranya Musa hidup sekarang maka tidak dapat tiada ia akan menurut Syariatku."

KA'BUL AHBAR
   Telah berkata Ka'bul Ahbar lagi: "Aku telah dapati ada tersebut di dalam kitab Taurat bahawa apabila umat Muhammad s.a.w. berjalan di atas bumi maka mereka memintakan ampun bagi umat itu sekalian, dan aku telah dapati bahawa ada bersama tiap-tiap seorang daripada mereka itu satu landasan daripada cahaya iaitulah islam , dan aku telah dapati bahawa apabila seorang daripada mereka sujud maka apabila ia mengangkat kepalanya nescaya Allah Taala mengampunkan dosanya, dan aku telah dapati mereka berpuasa satu bulan dalam tiap-tiap tahun,iaitu bulan Ramadhan, dan bagi tiap-tiap sehari mereka berpuasa maka Allah Taala menjauhkan mereka daripada api Neraka sejauh perjalanan 500 tahun,dan aku dapati mereka berbahagia dan mempunyai sebaik-baik tempat kembali, iaitu Syurga."

AMPUNAN ALLAH
   Tersebut di dalam kitab 'Raudhatul Ulama': "Telah bersabda Nabi Musa a.s.: "Hai Tuhanku,ampunkanlah aku dan bani Israel." Firman Allah Taala: "Aku telah ampunkan Muhammad dan umatnya dan pahala mereka (umat Muhammad) pada sisiKu sama sebagaimana pahala Nabi-nabi.KemurkaanKu terhadap mereka itu jauh. Aku terima amalan daripada mereka itu sedikit, tetapi Aku beri pahala dan rahmat kepada mereka itu banyak.Dan Aku tidak menolak permohonan taubat daripada mereka itu selama mereka berkata: Laa ilaaha illallah (iaitu tiada Tuhan melainkan Allah)." Lalu Nabi Musa a.s. pun tunduk sujud dan berkata: "Hai Tuhanku, jadikanlah aku di dalam golongan umat Muhammad." Maka Allah Taala pun berfirman:: "Engkau dan sekalian Nabi-nabi memang termasuk di dalam golongan umat Muhammad." Moga-moga Allah Taala mengurniakan sebanyak-banyak salam dan sejahtera kepada mereka itu sekalian.Amin!

PERKATAAN-PERKATAAN AULIA'

Telah berkata Al Hasan Al Basri,r.a.:"Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud,nescaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w."
   Dan telah berkata Al Junaid Al Baghdadi r.m.h.: "Barangsiapa hadir pada majlis Maulid Nabi s.a.w. dan membesarkan keadaan majlis itu maka sesungguhnya ia telah menang dengan iman."
   Dan telah berkata Makruf Al Kukhi (moga-moga Allah Taala memuliakan rohnya.): "Barangsiapa  menyediakan makanan untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. dan mengumpulkan orang-orang islam serta menyalakan lampu-lampu dan memakai pakaian-pakaian yang baru dan berwangi-wangi serta bercantik dengan tujuan membesarkan Maulidnya s.a.w. maka Allah Taala akan mengumpulkan dia di padang Masyhar di hari kiamat kelak bersama dengan kumpulan-kumpulan yang pertama di antara Nabi-nabi ia akan mendapat setinggi-tinggi tempat di dalam syurga"
   Dan telah berkata As Sirri As Saqati::
"Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun Syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah s.a.w." 
   Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam Syurga."
   Sedia maklum bahawa menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan cara-cara yang telah tersebut dahulu itu nyatalah bererti kita cinta kepadanya.
   Dan telah berkata Sultan Wali-wali (Arifin).Jalaluddin As Suyuti  rahimahullah: "Barangsiapa orang islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. nescaya Allah Taala akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan,bala,penderitaan,kebencian,hasad,kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati maka Allah Taala akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Munkar dan Nakir dan ia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar kerajaanNya."
   Dan ia  berkata lagi:
"Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi s.a.w. melainkan Malaikat-malaikat melindungkan ahli-ahli tempat itu dan Allah Taala akan melimpahkan rahmatNya kepada mereka dan Malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibrail dan Mikail,Israfil,Quryail,Ainail dan lain-lainnya mendoakan bagi sesiapa yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Maulid Nabi s.a.w."
   Demikianlah dinyatakan oleh guru kami daripada kitab 'Wasail.'

MURAH REZEKI
   Barangsiapa membaca Maulid Rasulullah s.a.w. pada wang perak dan emas dan kemudian ia mencampurkan wang itu dengan wang-wangnya yang lain nescaya tuan punya wang itu akan mendapat berkat dan tidak akan menjadi papa dan tangannya tidak akan kosong dengan berkat Maulid Rasulullah s.a.w.
   Dan telah berkata Imam Al Yafie:
"Barangsiapa mengumpulkan orang-orang islam untuk sesuatu majlis membaca Maulid Nabi s.a.w. dan  menyediakan makanan dan mengadakan tempat baginya dan mengerjakan lain-lain kebajikan, maka Allah Taala akan membangkitkan dia pada hari Kiamat bersama-sama dengan wali-wali dan orang-orang yang soleh dan orang-orang yang mati syahid dan ia akan berada di dalam Syurga Naim."

LAGI KELEBIHAN MAULID
   Telah dihikayatkan bahawa pada zaman Amirul mukminin Harun Ar Rasyid bahawa ada seorang muda di dalam bandar Basrah yang terlalu pemboros dan buruk perangai dan ahli-ahli negeri itu telah memandang kepadanya dengan pandangan yang hina,dengan sebab perbuatan dan perangainya yang buruk itu.Tetapi pemuda ini ,apabila sampai bulan  Rabiul awal maka ia telah membasuh pakaian-pakaiannya dan berwangi-wangi serta berhias dan mengadakan jamuan dan pula ia telah meminta dibacakan kisah Maulid Nabi s.a.w. di dalam jamuan itu,maka ia tetaplah mengerjakan seperti itu tiap-tiap tahun selama beberapa tahun.
   Kemudian apabila ia mati maka penduduk-penduduk negeri itu telah mendengar satu teriakan berkata:
"Datanglah wahai ahli Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali Allah Taala kerana dia itu mulia di sisi Allah."
   Maka orang-orang Basrah pun datanglah kepada jenazahnya dan mengkebumikannya,kemudian mereka telah melihatnya di dalam mimpi bahawa ia sedang bersiar-siar dengan pakaian dan perhiasan anli Syurga." lalu ia telah ditanya,"Sebab apa engkau telah menerima kelebihan besar ini?"Jawab pemuda itu: "Sebab aku membesarkan Maulid Nabi s.a.w."

SATU LAGI HIKAYAT
   Telah dihikayatkan juga bahawa pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Maruan bahawa ada seorang muda yang elok parasnya di dalam negeri Syam dan ia suka bermain dengan menunggang kuda.. Maka pada satu hari ia telah menunggang kudanya  dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah  itu tiba-tiba terlanggarlah dengan salah seorang anak baginda yang kebetulan ada di situ, lalu anak baginda itu pun mati.
   Maka berita itu telah sampailah dengan segera kepada Khalifah dan Khalifah pun memeritahkan supaya pemuda itu dibawa menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah maka teringatlah pada hatinya hendak bernazar bahawa sekiranya allah taala melepaskan dia daripada angkara itu maka ia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam majlis jamuan itu.
   Apabila pemuda itu sampai di hadapan Khalifah dan Khalifah pun memandang kepadanya, tiba-tiba baginda telah tertawa, padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu:
"Adakah engkau pandai ilmu sihir?" Jawab pemuda itu, "Demi Allah, tidak sekali-kali hai Amirul mukminin."Berkata baginda:
"Baiklah, aku ampunkan engkau, tetapi katakanlah kepada aku apakah rahsia engkau?" Jawab pemuda itu:
"Aku telah berkata dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan bagi Maulid Nabi s.a.w."
   Baginda berkata:
"Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi s.a.w. itu dan engkau sekarang terlepaslah daripada sebarang balasan bagi membunuh anakku itu."
Maka pemuda itu pun keluarlah dan telah selamat daripada balasan bunuh dan telah menerima pula seribu dinar ialah dengan berkat Maulid Nabi s.a.w.

MENGAMBIL BERAT
Sayugialah semua orang-orang islam mengambil berat dan gemar membaca Maulid Penghulu Besar kita keturunan adnan itu, kerana dengan sebab-sebabnya telah dijadikan  sekalian arwah dan benda-benda, dari itu memanglah sesuai dibelanjakan harta benda untuk mengingatkan dan membesarkannya. moga-moga Allah taala menjadikan kita sekalian gemar dan suka membaca Maulid Nabi kita yang mulia itu dengan berkekalan dan membelanjakan wang baginga pada masa-masa dan hari-hari yang tertentu. Amin!

SATU ADAT 
   Kerap juga berlaku di negeri kita ini orang-orang bertepuk tangan dan memukul gendang dan menari-nari dan memukul dandi (gendang besi) ketika Zikrullah dan ketika membaca membaca Maulid Nabi s.a.w. sedangkan tidak disuruh oleh syara' membuat demikian.. Bahkan kadang-kadang hal ini boleh membawa kefakiran. (Kita berkindung dengan Allah daripada yang demikian itu).Telah dipetik oleh guru kami daripada Abu Bakar bin Al Hisni bahawa jenis kafir itu banyak, tidak dapat dikira, maka  setengah daripadanya ialah membaca Quran dengan memukul gendang.
   Ibnu Hajar telah memetik daripada At tartusi yang tujuan ringkasnya ialah:
Menurut pendapat ketua-ketua ahli Sufi bahawa menari-nari dan memukul gendang di dalam majlis zikrullah atau di dalam ketika membaca selawat dan memuji Nabi s.a.w. adalah sesat dan salah kerana islam itu tiada lain hanyalah apa yang terkandung di dalam kitab Allah dan Hadith Nabi s.a.w.

Selasa, 9 November 2010

FAEDAH MAULID

Telah berkata Ibnul Juzi bahawa satu daripada perkara-perkara yang telah mujarrab (iaitu telah dicuba dan didapati benar) ialah bahawa meraikan atau merayakan Maulid Nabi s.a.w itu akan mendatangkan keamanan yang penuh pada sepanjang-panjang tahun itu di tempat yang diadakan keramaian Maulid itu.
Sanya seorang raja yang bernama Abu Said Al Mudzaffar telah mempunyai sebuah kota bernama Irbil yang jauhnya dua batu daripada bandar Al Musul,adalah seorang raja yang bijaksana,berani,gagah,pintar,alim dan adil.Ia telah berlebih-lebihan pada tentang meraikan dan merayakan Maulid Nabi s.a.w. dan telah mengeluarkan belanja tiap-tiap tahun untuk yang demikian itu sebanyak 300 000 dinar. Dan perbuatannya itu telah dipersetujui oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh keseluruhannya.
Dan di dalam di setengah-setengah perayaan Maulid yang diadakan oleh raja itu maka setengah-setengah orang telah menghitung di dalam jamuannya ada 5000 ekor kambing panggang dan 10 000 ekor ayam dan 100 000 mangkuk dan 300 000 pinggan besar yang mengandungi gula-gula dan manisan-manisan yang berbagai rupa dan rasa.
Dan pula ia telah menyediakan percuma satu rumah besar untuk sesiapa sahaja yang datang daripada mana-mana pihak dan arah yang tidak mempunyai tempat tinggal.Dan raja itu telah membelanjakan wang untuk rumah itu tiap-tiap tahun 100 000 dinar, padahal baju raja itu sendiri hanya daripada kain kapas yang keras dan pula tidak lebih daripada lima helai.Isterinya pernah menegurnya tentang hal pakaian itu,tetapi ia pernah menjawab: "Aku memakai pakaian-pakaian yang demikian itu lebih baik daripada aku memakai pakaian yang mahal dengan tidak mengambil berat terhadap orang-orang fakir dan miskin."

PERMULAAN PERAYAAN MAULID
Kata Syeikh As Sakhawi bahawa perayaan Maulid itu mula-mula telah berlaku selepas kurun yang ketiga.Kemudian maka berkekalanlah orang-orang islam di lain-lain negeri dan bandar yang besar meraikan Maulid itu.Dan mereka telah bersedekah pada malamnya dengan berbagai-bagai sedekah dan mengambil berat tentang membaca Maulid s.a.w. yang mulia itu dan telah nyatalah daripada berkatnya itu bahawa mereka telah mendapat lelebihan-kelebihan yang banyak.

HUKUM MERAYAKAN MAULID
Di dalam fatwa-fatwa Al Hafiz As Sayuti rahimahullah,di dalam bab 'walimah' (memberi jamuan) bahawa ia telah ditanya tentang merayakan Maulid Nabi s.a.w. di dalam bulan Rabiul Awal,apa hukumnya daripada segi syarak?Dan adakah didapati pahala oleh orang yang melakukannya atau tidak?Dijawab oleh As Sayuti,"pada pendapatku bahawa cara merayakan Maulid Nabi s.a.w. itu ialah orang-orang yang berkumpul beramai-ramai dan membaca sedikit daripada ayat Quran dan menceritakan kisah-kisah berkenaan Maulid s.a.w. dan perkara-perkara yang luar biasa (mukjizat) yang berlaku pada masa Nabi s.a.w. dizahirkan dan kemudian mengeluarkan makanan untuk dimakan oleh orang ramai tadi dan selepas itu mereka pun bersurai dengan tidak menerjakan apa-apa lain daripada yang tersebut itu.

BID'AH HASANAH
Sanya perbuatan-perbuatan sebagaimana yang tersebut itu ialah Bid'ah Hasanah yang dibalas dengan pahala bagi orang-orang yang membuatnya kerana di dalam perbuatan-perbuatan yang tersebut itu ada erti membesarkan nilai Nabi kita Muhammad s.a.w. dan menzahirkan kesukaan dan kegembiraan terhadap kezahirannya yang mulia.
Demikianlah yang telah disebutkan oleh guru-guru kami moga-moga Allah Taalah mencurahkan rahmatNya ke atas mereka.
Telah berkata Imam Abu Syamah ,guru Sheikh An Nawawi,"Satu daripada perkara-perkara yang dicipta dan diadakan pada zaman kita ialah perkara yang dilakukan tiap-tiap tahun pada hari asalnya yang dizahirkan Nabi s.a.w.(iaitu dua belas Rabiul Awal)seperti bersedekah dan mengerjakan lain-lain kebajikan dan menyatakan kesukaan serta menghiaskan diri dan tempat kediaman kerana yang demikian itu selain daripada membuat baik kepada orang-orang fakir,maka ia juga menandakan cinta kepada Nabi s.a.w. dan membesarkan dia di dalam hati orang yang menjalankan perayaan Maulid itu,serta sebagai syukur kepada Allah Taala kerana ia telah mengutus Rasulullah s.a.w. sebagai satu rahmat kepada manusia sekalian.

MEMBESARKAN NABI S.A.W.
Telah berkata guru bagi guru kami Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan rahima ullah,"Telah menjadi adat wbagi orang ramai bahawa apabila mereka mendengar orang yang membaca Maulid itu menyebut pada arah: "Nabi s.a.w. dizahirkanlah daripada ibunya" maka mereka pun bangun berdiri itu memanglah baik,kerana yang demikian itu ada pengertian membesarkan Nabi s.a.w. sesungguhnya banyak ulama yang menjadi ikutan oleh orang ramai telah membuat seperti itu. "
Kata Al Halbi di dalam kitabnya 'As Sirah': "Sesungguhnya telah diceritakan oleh setengah-setengah ulama bahawa pada suatu masa di zaman Imam As Subki ,ramai ulama telah berkumpul di sisinya,lalu salah seorang daripada mereka telah melagu-lagukan satu nasyid (iaitu syair penggalak) yang dikarang oleh As Sarsari untuk memuji-muji Nabi s.a.w. ,maka pada ketika itu bangunlah Imam As Subki beserta semua mereka yang ada di majlis termasuk kadi-kadi dan orang-orang besar ,lalu terjadilah mesra yang begitu berkat di dalam majlis itu. Sanya,merayakan Maulid Nabi s.a.w. dengan orang-orang berkumpul ramai untuknya ialah satu perkara yang baik (mustahsan)

HADIS NABI S.A.W.
Telah di riwayatkan satu hadis Nabi s.a.w. seperti berikut:
"Barangsiapa membesarkan hari kezahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan satu dirham untuk Maulidku maka seolah-olah ia membelanjakan sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."
Dan telah berkata Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesunguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.
Dan telah berkata Saidina Umar r.a.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka sesungguhnya ia menghidupkan agama islam."
Dan telah berkata pula Saidina Usman r.a.:
"Barangsiapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah s.a.w. maka seolah-olah ia mati syahid di dalam peperangan Badar dan Hunain."
Dan telah berkata Saidina Ali k.w.h.:
"Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi s.a.w. maka ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman."
Dan telah berkata Imam Syafie rahima Ullah:
"Barangsiapa mengumpulkan orang-orang islam untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. dengan membaca Maulid itu dan mengadakan syarahan-syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat lain-lain kebajikan,nescaya Allah Ta'ala akan membangkitkan mereka di hari kiamat bersama dengan wali-wali, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh dan ia akan berada di dalam Syurga yang penuh nikmat."