bismillahirrahmaanirrahim.
untuk pengetahuan semua ,ilmu,keterangan dan ulasan ini bukan dari idea-idea dan pemikiran saya tetapi saya ambil dari sebuah kitab lama yang bernama 'HEMBUSAN KASTURI'yang dikarang oleh Kiyai Agung As-Saiyyid Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi rahimahumullahutaala dan diterjemahkan oleh ust.Md. Taha Suhaimi.Semoga bertambah-tambah pengetahuan kita semua dan semuga kita semua sentiasa di dalam berbuat kebaikan dan kebajikan kerana Allah.
DENGAN NAMA ALLAH YANG SENTIASA MENGASIHANI DAN SANGAT MENGASIHANI
Ini kitab dinamakan 'HEMBUSAN KASTURI' yang menerangkan berkenaan:
Kelebihan membaca maulid Nabi Kita MUHAMMAD sebaik-baik manusia,muga-muga Allah Taala mengurniakan senuh-penuh ketenteraman dan sebesar-besar kesejahteraan kepadanya dan semoga Allah Taala mengampunkan penyusun kitab ini(serta penterjemahnya) dan sekalian orang-orang islam lelaki dan perempuan.Amin.
Diharap pembaca-pembaca yang mulia akan memandang kandungan kitab dengan redha dan senang hati dan sedia membetulkan apa-apa yang tersalah atau tersilap kerana penyusun sesebuah kitab tidaklah terkeluar daripada tujuh perkara,sebagaimana yang pernah dikatakan oleh setengah-setengah ulama pada masa dahulu,iaitu:Apabila seorang alim yang waras akalnya menyusun sebuah kitab maka tidak dapat tidak kandungannya itu kadang-kadang dicipta olehnya sendiri yang belum ada pada masa dahulu,ataupun ada perkara-perkara yang kurang sempurna atau tidak sempurna disempurnakan olehnya,ataupun ada perkara-perkara yang tidak jelas dijelaskan olehnya atau ada perkara-perkara yang panjang yang diringkaskan olehnya dengan tidak merosakkan sedikitpun maknanya ataupun ada perkara-perkara yang bercerai-cerai yang dikumpulkan olehnya ataupun ada perkara-perkara yang salah yang dibetulkan olehnya.Maka di dalam hal-hal yang tersebut kesilapan atau kesalahan harus terjadi.
Bagi sesiapa yang ikhlas(iaitu membuat sesuatu kebajikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah dan terselamat dari azab Neraka)maka ada balasan yang besar untuknya pada sisi Allah.
Penulis yang Jahil:
Muhammad bin Abdullah As Suhaimi
KEPUJIAN KEPADA ALLAH
Pujian yang sebenar adalah tertentu bagi Allah yang telah mengurniakan satu nikmat yang amat besar kepada kita sekalian dengan menzahirkan penghulu sekalian manusia dan pula Ia telah menentukan masa kezahiran Penghulu itu pada bulan Rabiul Awal yang gemilang . Aku saksikan bahawa tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah yang esa,iaitu tidak ada sekutu bagi Nya. Muga-muga dengan penyaksian itu terhapuslah dosaku dan dosa pembaca-pembaca sekalian,samada dosa yang besar ataupun yang kecil. Dan aku saksikan pula bahawa penghulu kita dan nabi Muhammad s.a.w ialah seorang hambaNya dan pesuruhNya yang mempunyai beberapa mukjizat(iaitu beberapa perkara-perkara yang luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh manusia yang biasa) yang semakin lama semakin tersiar sebutannya sebutannya,dan moga-moga Allah Taala mengurniakan juga keselamatan dan kesejahteraan kepada keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian dan moga-moga keselamatan dan kesejahteraan itu kekal sehingga Hari Mahsyar(iaitu hari yang di dalamnya sekalian manusia akan dihidupkan semula selepas matinya lalu berkumpul untuk dikira dan ditimbang pahala dan dosa masing-masing sebelum di masukkan ke dalam Syurga atau Neraka).
SAYA MULAKAN
Sesudah itu maka berkatalah saya yang hina dan fakir lagi berdosa,Muhammad bin Abdullah,yang dikenali di antara orang ramai dengan gelaran Suhaimi yang berharapkan rahmat Allah,yang bermazhab Ash Syafi'i di dalam Feqah dan bermazhab Al Asy'ari di dalam Tauhid dan menjalankan Tariqat Al A'lawiyah dan kemudian Tariqat Al Muhammadiah, yang bergurukan Ash Sheikh An Nawawi dan kemudian Az Zawawi dan yang berasal dari jajahan wanasaba(wonosobo) di dalam negeri Jawa, moga-moga Allah Taala dengan lemah lembutNya dan belas kasihanNya menjadikan dia bekerja bersungguh-sungguh di dalam pekerjaan kebajikan yang zahir dan yang batin dan menyiarkan ilmu syariat dan ilmu akhirat.
Bahawasanya saya telah menyusun kitab ini ialah untuk menggalakkan dan menyukakan serta menjadikan orang ramai mengambil berat tentang mengingatkan Naaabi kita Muhammad s.a.w dengan membanyakkan selawat dan salam kepadanya dan membaca kisah-kisah maulidnya serta qasidah-qasidahnya dan lain-lain perbuatan kebajikan dan ketaatan kepada Allah Taala.
Maka tidak ada satu perkara yang lebih memberi manfaat untuk menerangkan hati serta menyampaikan orang-orang yang menuntut untuk "sampai" kepada Allah melainkan dengan banyak mengingkatkan Nabi s.a.w. dan mengucapkan selawat kepadanya kerana bahawasanya dengan tekun dan tetap membuat demikian maka orang itu akan memperoleh cahaya yang banyak dan dengan berkatnya ia akan dapat berhubung dengan Nabi Muhammad s.a.w. ataupun dapat berkumpul dengan sesiapa yang boleh menyampaikan dia kepada Nabi s.a.w. dengan syarat ia menjalankan ibadat dan menjauhkan maksiat serta menghiasi diri dengan perangai yang baik,terutamanya pada akhir zaman apabila kekurangan orang-orang yang menunjuk ajar serta banyak pula campur aduk berlaku di dalam hukum-hukum agama di antara orang ramai.
SEBAIK-BAIK PERKARA
Maka sebaik-baik perkara pada masa ini ialah bekerja bersungguh-sungguh mencari ilmu yang berfaedah,(terutamanya ilmu agama islam) dan menyiarkannya,oleh kerana bekerja untuk yang demikian itu,serta dengan niat yang betul adalah lebih baik daripada puasa siang hari dan beribadat sepanjang malamnya dan lebih baik daripada berkhalwat dan bertapa bahkan lebih baik daripada segala perkara-perkara yang lain daripada itu,(tetapi puasa dan berkhalwat itu memang ada faedahnya juga).Bahkan sebenarnya tidak ada suatu amalan yang lebih dikasihi oleh Nabi s.a.w. pada masa ini melainkan bekerja untuk mengajar umatnya tentang syariatnya.Dan tidak ada suatu yang lebih diredhai oleh Allah Taala melainkan seperti apa yang tersebut itu,kerana sekalian rasul-rasul dan nabi-nabi alaihimussalam diutuskan untuk yang demikian itu.
TUJUAN KITAB INI
Maka marilah kita membaca kandungan kitab ini:
Sanya mula-mula makhluk yang dijadikan oleh Allah Taala ialah Nur (cahaya) Nbi kita Muhammad s.a.w.'dan telah melimpah padanya tanda-tanda kenabian daripada ketika itu,tetapi sebelum itu Allah Taala sahaja yang ada,bahkan belum ada masa dan belum ada matahari dan bulan.
Telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdulah Al Ansari(seorang sahabat Nabi s.a.w.)bahawa ia telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang mula-mula makhluk yang telah dijadikan oleh Allah Taala lalu dijawab oleh Nabi s.a.w.:
"Hai,Jabir,sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan sebelum segala makhluk ialah Nur Nabi engkau daripada NurNya."Maka mulalah Nur itu berjalan kesana kemari dengan kudrat Allah Taala dengan menurut kemana sahaja yang Allah Taala kehendaki.Dan belum ada pada masa itu Loh Mahfuz dan Qalam,dan belum ada Syurga dan Neraka,dan belum ada langit dan matahari dan bulan dan manusia dan jin.
Dan telah bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Akulah mula-mula Nabi yang dijadikan(iaitu dengan dijadikan cahaya yang tersebut itu),dan penghabisan sekali diutuskan selepas sekalian Nabi-nabi yang lain itu ialah supaya umat Nabi-nabi yang lain itu tidak mengetahui akan apa-apa keaiban umatku."
TULISAN PADA ARASY
Dan telah diriwayatkan bahawa apabila Allah Taala telah menjadikan arasy,maka ia telah menulis di atasnya dengan cahaya:La ilaha illallah Muhammadurrasulullah.Ertinya:Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah,Muhammad itu pesuruh Allah.
Maka apabila Nabi Adam alaihissalam keluar daripada syurga itu nama Muhammad bersambung dengan nama Allah,lalu ia berkata:"Hai Tuhanku ,dengan berkat kehormatan cucuku ini,kurniakanlah rahmat kepada datuknya",(iaitu Nabi Adam).Lalu Nabi Adam mendengar satu teriakan:"Hai Adam ,jika engkau minta syafaat(pertolongan) kepada kami dengan berkat Muhammad untuk langit dan bumi,nescaya kami akan memberi syafaat itu kepada engkau."
Telah diriwayatkan daripada Ibni Abbas radhiallahuanhuma bahawa Nabi kita s.a.w. telah bersabda:-
"Mula-mula sekali yang ditulis dengan Qalam di dalam Loh Mahfuz dengan perintah Allah Taala ialah:-Sesungguhnya Akulah Allah,tidak ada tuhan melainkan Aku.Muhammad ialah hambaKu dan pesuruhKu dan pilihanKu dari makhlukKu.Barangsiapa menurut akan hukumKu dan sabar terhadap percubaanKu dan bersyukur tentang nikmat-nikmatKu nescaya Aku akan menulisnya sebagai seorang yang benar-benar percayakan Aku dan Aku akan membangkitkan(menghidupkan)dia di Hari Kiamat kelak di dalam golongan orang-orang yang benar-benar mempercayakan Aku waktu di dunia,tetapi barangsiapa yang tidak syukur tentang nikmat-nikmatKu,maka cubalah ia keluar dari bawah langitKu dan carilah tuhan yang lain daripada Aku.
Dan di dalam satu riwayat yang lain pula ada tersebut begini:
Apabila Qalam menulis: La ilaha ill Allah maka ia pun berkata:
"Hai Tuhanku, sesungguhnya aku telah mengetahui namaMU yang maha besar:
Lailaha illaAllah. Tetapi siapakah pula muhammad yang Engkau hubungkan namanya dengan Engkau?" Lalu menjawablah Allah Ta'ala:
"Hai Qalam, demi kuatkuasaKu, jika tidak kerana Muhammad nescaya tidaklah Aku jadikan engkau dan tidaklah Aku jadikan satupun daripada makhluk-makhlukKu. Engkau tulislah: Hai anak cucu Adam, barangsiapa taatkan Allah, nescaya Allah akan masukkan dia dalam syurga dan barangsiapa derhaka kepadaNya orang itu akan dimasukkan ke dalam Neraka."
Dan begitulah ditulis oleh Qalam bagi tiap-tiap umat sehingga sampai kepada umat Muhammad s.a.w. maka Qalam pun menulis:
" Hai umat Muhammad .Barangsiapa taatkan Allah nescaya Allah masukkan dia ke dalam Syurga dan barangsiapa derhaka kepada Allah(maka Qalam pun hendak menulis: "Nescaya Allah masukkn dia ke dalam Neraka"),tiba-tiba datanglah satu teriakan:"Beradaplah hai Qalam!"Lalu Qalam pun ketakutan dan menggeletar selama seribu tahun dengan sebab kehebatan kudrat Allah dan setelah itu maka Qalam itu pun berkata:"Hai Tuhanku,apakah yang akan aku tuliskan(bagi umat Muhammad itu)?"Jawab Allah Taala:"Tuliskan:Umat yang berdosa dan Tuhan yang sangat pengampun."(Yakni Allah Taala mudah mengampunkan apabila mereka bertaubat dan meminta ampun.
Dan pada lain riwayat ada dinyatakan bahawa Allah Taala telah berfirman pula:"Sesungguhnya Aku sangat mudah menerima taubat,Aku menerima taubat dari sesiapa yang mahu bertaubat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan